Abdul Karim hargai sokongan rakyat sanggup beratur panjang dapatkan tiket perasmian Sukma 2024

Abdul Karim merakamkan kenangan bersama pemenang-pemenang Konvensyen Inovatif Dan Kreatif 2024 kementeriannya.
Advertisement

KUCHING, 12 Ogos: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah terkejut, selain menghargai sokongan daripada rakyat yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkan tiket masuk menonton Majlis Perasmian Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Katanya, pada hari ini dan esok, tiket masuk bagi acara tersebut yang diadakan di Stadium Sarawak diagihkan secara percuma.

“Saya seronok melihat sokongan daripada rakyat yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkan tiket.

Advertisement

“Mereka tahu kita sudah membuat persiapan untuk majlis perasmian oleh Majlis Seni Sarawak berbulan lepas.

“Mereka mengjangkakan satu persembahan yang hebat,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penangguhan Konvensyen Inovatif Dan Kreatif 2024 Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, bagi yang tiada tiket masuk, mereka boleh menonton secara langsung melalui TV atau datang ke Dataran Perayaan (berhampiran Stadium Sarawak) di mana skrin besar disediakan.

Terdahulu Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengagihkan sebanyak 7,500 tiket masuk setiap hari (2 hari) bermula jam 10 pagi sehingga selesai.

Perasmian Sukma 2024 akan diadakan pada malam 17 Ogos ini. — DayakDaily

Advertisement