Abdul Karim harap Bajet 2023 beri peruntukan lebih kepada belia

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (file pic)

KUCHING, 19 Feb: Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan berharap Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan lebih banyak belanjawan kepada golongan belia dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari ini.

Menurut laporan TVS, Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memperkasakan golongan belia melalui bajet yang disalurkan.

“Sejujurnya saya tidak menjangkakan atau mengharapkan lebih untuk belanjawan ini kerana bukan mudah untuk mendapatkan dana.

“Saya berharap ia akan disalurkan kepada sektor pertanian, sukan, seni persembahan dan lain-lain yang mana memberikan kebaikan kepada kita untuk membangun,” katanya kepada pemberita selepas SWAK The NX Gen of Style Fashion Show di Old Court House malam tadi.

Tambah Abdul Karim, pendekatan kepada belia merupakan satu gerakan yang berdikari daripada kementerian.

“Kita mempunyai dana yang cukup tetapi bukan dari Kerajaan Persekutuan sebaliknya dari Kerajaan Sarawak.

“Setakat pendekatan yang dilakukan, aktiviti untuk belia seperti sukan telah dilakukan sejak dahulu lagi.

“Saya melihat pendekatan kepada belia semakin mendapat sokongan yang positif baik di kawasan bandar mahupun luar bandar, kita akan sentiasa meneruskan pendekatan ini untuk mereka,” katanya. — DayakDaily