Abdul Karim hadir sesi Meet Up bersama atlet ProPS

Abdul Karim (dua dari kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada salah seorang atlet ProPS.
Advertisement

KUCHING, 7 Ogos: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini menghadiri sesi Meet Up bersama atlet-atlet  di bawah Program Pembangunan Sukan Sarawak (ProPS) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Pertemuan adalah untuk memberi semangat, sokongan dan membantu para atlet ProPS, khususnya pada masa pandemik ini.

Buat masa sekarang, terdapat 74 orang atlet dari luar Kuching sedang menjalani latihan dalam sukan bola keranjang, renang, wushu, angkat berat, hoki, olahraga dan bolasepak.

Advertisement

“Atlet-atlet yang terlibat adalah dari daerah-daerah seperti Limbang, Lawas, Miri, Belaga, Bintulu, Mukah, Tatau, Sibu, Kapit, Bintangor, Sarikel, Daro, Tanjong Manis, Saratok, Kabong dan Sri Aman.

“Sesi Meet-up dengan para atlet adalah bagi mengetahui perkembangan terkini pembangunan atlet Sarawak di bawah ProPS,” kata Abdul Karim dalam ucapan di sesi itu.

Menurut Abdul Karim, ProPS adalah usaha melahirkan dan mengasah bakat-bakat baharu dalam bidang sukan bagi melahirkan atlet-atlet yang akan mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.

Katanya, ProPS pada masa ini telah melibatkan 49 jenis sukan kompetetif dari selatan hingga ke utara Sarawak yang melibatkan lebih kurang 4,000 orang.

“Dijangkakan dalam tahun 2030, ProPS akan melibatkan lebih kurang 1,000 orang atlet terlibat secara langsung berlatih secara sistematik,” katanya.

Tambah Abdul Karim, ProPS bukan hanya membangun atlet-atlet yang berpotensi tinggi, malah ia juga melibatkan program pembangunan jurulatih tempatan.

Pada pertemuan itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, turut menyerahan bantuan makanan kepada atlet ProPS.

Turut hadir Menteri Muda  Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan. — DayakDaily

Advertisement