Abdul Karim gesa pimpinan baharu FAS tidak separuh jalan

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Advertisement

KUCHING, 31 Jan: Pimpinan baharu Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) digesa komited dan tidak berhenti separuh jalan.

Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, masalah seperti yang dihadapi pimpinan sebelumnya seharusnya tidak berulang lagi.

Katanya, ia penting agar sukan bolasepak Sarawak dapat meningkat semula.

Advertisement

“FAS Telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan ada pimpinan baharu akan memimpin dengan presiden baharu Abang Zulkarnain.

“Harapan kita beliau (Abang Zulkarnain) dapat membawa sukan bolasepak Sarawak ke peringkat tinggi, tiada masalah gaji tidak dibayar,” katanya ketika mengulas perkara tersebut hari ini.

Tambah Abdul Karim, pimpinan baharu semestinya sudah ada perancangan untuk mengubah haluan FAS sebelum menawarkan diri.

Beliau tidak mahu kedengaran apabila selepas sebulan dua timbul pelbagai perkara seperti masalah tiada duit.

“Sebelum menawarkan diri, perkara ini mesti sudah dilihat terlebih dahulu dan kita mahu pemimpin yang dapat memimpin sepanjang masa hingga AGM baru.

“Jangan setengah jalan dan kemudian berkata bukan saya yang mahu tapi affiliate yang pilih,” ujar Abdul Karim.

Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman pada AGM yang diadakan di Sarikei baru-baru ini dipilih sebagai Presiden FAS bagi penggal 2023-2025.

Bekas Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga calon tunggal menang tanpa bertanding selepas mendapat sokongan majoriti 12 ahli Gabungan. — DayakDaily

Advertisement