Abdul Karim: Bukan tindakan sesuai untuk terus tunda Sukma

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 13 Dis: Cadangan untuk terus menunda atau membatalkan acara Sukan Malaysia (Sukma) di Johor yang ketika ini ditunda kepada tahun 2022 atas alasan ia bertembung dengan acara sukan di peringkat antarabangsa bukan satu cadangan yang sesuai untuk dilakukan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan tersebut bukan sahaja akan merosakkan mutu sukan terbabit malah masa cemerlang seseorang atlet yang singkat akan mengakibatkan atlet terbabit tidak dapat mempamerkan prestasi sepatutnya.

Katanya, Sukma yang dirancang untuk diadakan pada tahun terbabit perlu diteruskan memandangkan ia tidak mengambil masa yang lama sekaligus dapat memberikan peluang untuk atlet terlibat melakukan persediaan seterusnya bagi menghadapi temasya sukan di peringkat antarabangsa.

Advertisement

“Sukma ini hanya ambil masa seminggu atau dua minggu, selepas itu kita masih boleh melakukan persiapan seterusnya kecuali atlet-atlet kita yang sudah dipersediakan untuk sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan SEA, jadi mereka mungkin tidak akan dilibatkan dengan Sukma.

“Kita kena berikan khidmat kita lebih kepada negara dan kita (Sarawak) akan rugi dari situ sahaja kerana pilihan adalah untuk mereka (atlet Sarawak) menjadi wakil kepada Malaysia dalam sukan-sukan peringkat antarabangsa ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pusat Penjaja Kampung Tambirat, di sini hari ini.

Beliau berkata, Sarawak Sport Corporation (SSC) telah diarahkan untuk membentuk satu modul latihan baharu bagi atlet di negeri ini dalam mengekalkan tahap kercedasan mereka.

Katanya, latihan berpusat untuk atlet terlibat dengan Sukma akan dilakukan dalam tempoh terdekat dengan waktu sukan itu akan dilansungkan.

“Kita tidak mahu atlet kita berada pada tahap tertinggi pada penghujung tahun ini walhal tiada acara sukan penting untuk mereka.

“Bagaimanapun, menerusi modul baharu oleh SSC ini akan memastikan prestasi atau stamina mereka (atlet) berada pada tahap sepatutnya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement