Suspek pecah masuk kedai runcit diberkas, polis Miri memburu suspek kedua

Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Dis: Seorang lelaki ditangkap selepas disyaki memecah masuk sebuah kedai runcit di Pujut 4 pada Khamis (10 Dis).

Suspek ditahan sekitar jam 2 petang hari ini berdekatan sebuah hotel bajet di Permyjaya oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).

Turut dirampas sebuah motorsikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Difahamkan kejadian disedari pekerja kedai sekitar jam 4 pagi apabila hendak membuka pintu utama premis.

Wang tunai sebanyak RM5,000 dilaporkan telah hilang dari peti tunai kedai tersebut.

Semakan dari kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut mendapati dua suspek lelaki menggunakan sebuah motorsikal kelihatan memasuki premis sebelum melarikan diri dengan wang tunai berkenaan.

Pihak polis kini sedang berusaha menjejak seorang lagi suspek untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily