Polis Miri tahan 3 suspek kes pecah masuk rumah di Pujut 7

Ketiga-tiga suspek pecah rumah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Dis: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah masuk sebuah rumah di Pujut 7 dalam tiga serbuan berasingan pada Sabtu.

Difahamkan, tangkapan dibuat kurang 24 jam selepas kejadian.


Dalam kejadian itu, beberapa barangan elektrik pertukangan asas pemilik rumah bernilai lebih RM2,000 telah dilaporkan hilang dipercayai dicuri dalam kejadian yang disedari sekitar jam 9 pagi.

Susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah membuat tiga serbuan dalam operasi dinamakan Ops Pintu.

Kesemua suspek yang masing-masing berusia 19, 33 dan 35 tahun ditahan sekitar jam 2.30 petang.

Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan, pihak polis telah membuat beberapa penemuan dan rampasan barangan disyaki hasil daripada pecah rumah suspek.

Semakan mendapati, suspek telah melakukan pembahagian hasil jualan barangan curi sebanyak RM150 seorang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily