Oleh Chris Bishop
KUCHING, Mei 13 : Acara kemuncak Festival Tari dan Lagu Asli (FTLA) Sarawak akan diadakan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong pada Julai 4-6.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pemenang-pemenang di peringkat bahagian akan sekali lagi bertanding untuk merebut gelaran juara.
“Setelah mengharungi siri pertandingan sepanjang tahun bermula Oktober 2018 di Betong, (kami) seterusnya mengembara kesemua 12 bahagian bagi pencarian kumpulan tari terbaik dan penyanyi lagu asli terbaik Sarawak.
“Pertandingan pada kali ini menampilkan Tarian Etnik Kreatif iaitu Tarian Ajat Iban.
“Sementara pertandingan lagu asli memperlihatkan para peserta membawa lagu-lagu asli Melayu,” katanya pada sidang media yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, FTLA Sarawak merupakan acara anjuran Majlis Seni Sarawak yang diadakan saban tahun bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang tari dan nyanyian lagu asli.
“Untuk tahun ini kita telah memilih Tarian Ajat Iban dan untuk tahun berikutnya kita akan memilih tarian etnik yang lain.
“Dengan cara ini, kita dapat menghidupkan kesemua tarian etnik dengan lebih baik,” katanya.
Juara tarian etnik akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala juara lagu asli RM3,000.
Objektif utama penganjuran FTLA Sarawak adalah untuk menanam minat dan kecintaan masyarakat terutamanya dikalangan anak-anak muda agar mengenali dan menghargai seni dan budaya tanahair. — DayakDaily