Oleh Chris Bishop
KUCHING, 5 April: Kerajaan negeri akan terus melaksanakan program skim pembesaran kampung di seluruh negeri termasuk rumah panjang.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menerusi cara itu kerajaan dapat meningkatkan nilai aset penduduk luar bandar dan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
“Oleh kerana kita ada sedikit rezeki, jadi kita sediakan tapak tanah dan infrastruktur termasuk jalan dan parit konkrit serta bekalan elektrik dan air.
“Bermakna secara langsung ataupun tidak langsung kita mentransformasikan cara hidup orang kampung.
“Sekarang kita sudah ada dana dan menjadi hasrat kerajaan untuk memberikan perkongsian manfaat daripada dana tersebut dan oleh sebab itu kita berani katakan semua kos infrastruktur, tembok tanah, jalan, parit konkrit, bekalan elektrik dan air ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Pegawai Jabatan Tanah dan Survey (JTS) bersama Ketua Menteri di Menara Pelita di sini, hari ini.
Tambah beliau, menerusi skim tersebut dengan penyediaan semua infrastruktur, nilai aset penduduk di luar bandar akan meningkat.
“Kalau golongan miskin memiliki aset yang harganya tinggi tidak boleh di dalam kategori miskin dan penduduk kampung yang memiliki sedikit tanah tidak boleh dalam kategori miskin.
“Saya rasa apabila kita boleh menambah nilai aset orang kampung kita harap dapat memberi nilai tambah terhadap aset mereka. Jadi mereka tidak dapat dikongkong oleh aset pendapatan tunai,” ujar beliau.
Jelas Abang Johari, dengan pembangunan seperti skim pembesaran kampung bermakna taraf kehidupan penduduk adalah tinggi.
“Tetapi, kalau masih tinggal di perkampungan dengan jalan masih berbatu dan parit tanah, ia tidak menggambarkan pertambahan nilai aset,” katanya. — DayakDaily