Abang Johari: PKPD di daerah disasarkan langkah tepat

Abang Johari pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia, Kuching hari ini (19 April, 2021).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 April: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) ambil langkah tepat untuk terus melaksanakan operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah yang disasarkan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,  langkah ini terbukti berhasil melalui pengalaman pelaksanaannya di rumah panjang, kawasan kejiranan dan tempat kerja sebelum ini.

“Perbahasan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding PKP Bersyarat semakin hangat akhir-akhir ini.

“Saya ingin meyakinkan anda bahawa JPBNS telah membuat penilaiannya di lapangan dan telah menjelaskan bahawa sepanjang pengalaman mereka dengan PKP di Sibu, mereka mengalami kesukaran dari segi penguatkuasaan.

“Dengan melaksanakan PKP untuk Sarawak, ianya akan membebankan banyak industri dan ramai orang hilang pekerjaan,” katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Namun jelas Abang Johari, ada juga keperluan untuk mengambil langkah drastik untuk memutuskan rantaian, supaya keadaan tidak terus menekan sumber dari segi kesihatan kita yang terhad di samping tenaga kerja kita mencecah tahap keletihan.

Dalam pada itu, beliau  berkata pergerakan rentas antara daerah juga merupakan penyumbang utama penularan Covid-19.

Setakat ini katanya, terdapat 506 kes positif yang dikesan dan 8 kluster muncul kerana perjalanan rentas antara daerah membabitkan Import C sejak Januari 2021.

“Setelah menilai peningkatan jumlah kes tempatan bagi kes-kes Import C wabak Covid-19, saya telah mengarahkan agensi penguatkuasaan seperti PDRM, UKPN, ATM, APM dan RELA untuk mengetatkan kawalan perjalanan rentas daerah.

“Oleh itu, mulai hari ini, hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan melintasi zon dengan kebenaran polis,” ujar beliau.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa peningkatan kes juga berkaitan dengan kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya melalui perhimpunan sosial.

“Sehingga kini, perhimpunan seperti pengebumian telah merekodkan 3,612 kes positif dari 8 kluster, dengan 31 kematian.

“Perhimpunan lain seperti perjumpaan keluarga, pesta ulang tahun, pesta perpisahan, perjumpaan sempena perayaan, acara seperti gotong-royong dan laga ayam telah mengakibatkan 22 kluster, 1053 kes positif dan lima kematian,” katanya. — DayakDaily