Abang Johari nafi dakwaan ingin adakan PRN12 dalam waktu terdekat

Abang Johari (duduk dua dari kiri) pada sidang media di Kota Samarahan hari ini (3 Nov 2020).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 3 NOV: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau ingin mengadakan Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) dalam waktu terdekat ini.

Tegas beliau, sebarang keputusan berhubung tarikh pilihanraya harus mengutamakan kesihatan rakyat.

Advertisement

“Buat apa hendak disegerakan, yang penting adalah kesihatan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di Dewan
Suarah Samarahan hari ini.

Abang Johari juga berkata bahawa sebarang keputusan harus mengambil kira pandangan para pakar.

Katanya, pandangan pakar dari Kementerian Kesihatan adalah perlu, iaitu sama ada pilihanraya boleh diadakan atau tidak.

“Kedua, adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersedia atau tidak dengan norma baharu?

“Saya tidak tahu bila, saya akan terus memantau keadaan Covid-19. Tetapi kini sudah merah (Zon Kuching), tak sangka Wisma Saberkas pun
sudah ada kes,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata peruntukan dalam perlembagaan perlu juga diambil kira dalam menentukan tarikh PRN12.

SPR mesti bersedia dengan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang sehingga kini masih belum ada, ujar Abang Johari.

Namun, beliau juga akui bahawa PRN12 tidak dapat dielakkan.

“Ianya tidak dapat dielakkan, cuma kita tidak tahu bila ia akan diadakan, itu sahaja,” kata Abang Johari.

Pada Jumaat (30 Okt) lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas berkata, PRN12 yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan kecuali jika darurat diisytiharkan.

Jelasnya, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir Jun tahun depan selepas PRN ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016. — DayakDaily

Advertisement