Projek di bawah IRSDA berjumlah RM1.40 bilion siap 2023

Abang Johari (depan, tiga dari kiri) menyampaikan sijil pelantikan ketua kaum kepada salah seorang penerima dari Bahagian Samarahan pada majlis itu.

Oleh Chris Bishop

KORA SAMARAHAN, 3 Nov: Pelaksanaan projek pembangunan sosio ekonomi di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) berjumlah lebih RM1.40 bilion siap keseluruhannya pada 2023.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek infrastruktur termasuk pertanian khususnya taman agro kini sedang
dilaksanakan dengan lancar.


Katanya, terdahulu kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion kepada IRSDA untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di
Samarahan.

“Kini IRSDA ada sebanyak 519 projek yang sedang dilaksanakan yang merangkumi projek infrastruktur berjumlah RM452 juta.

“Dan yang memerlukan peruntukkan besar adalah projek membina benteng yang berjumlah RM841 juta sehingga ke Tanjung Sebangan di Sebuyau.

“Agensi juga memperuntukkan RM100 juta untuk membantu para pekebun termasuk projek taman agro yang akan menjadi modul infrastruktul
digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Dewan Suarah Samarahan hari ini.

Terdahulu beliau menhadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan berhubungan perkembangan projek-projek yang telah dilulus dan sedang
dilaksana bersama Pengerusi IRSDA Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan ahli-ahli yang lain.

Dalam pada itu, Abang Johari juga berkata bahawa Kementerian Pembangunan Infrastruktur turut melaksanakan projek pembinaan jalan
raya berjumlah RM337 juta di Samarahan yang kini sedang berjalan dengan lancar.

Manakala projek rakyat pula, katanya, merupakan projek tambahan yang dipohon oleh rakyat.

“Projek rakyat dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat di Samarahan dengan peruntukkan berjumlah RM221 juta yang merangkumi 30 projek.

“Ia melibatkan pembinaan jalan kecil (jalan kampung), dewan dan keperluan lain,” ujar Abang Johari.

Beliau juga memaklumkan bahawa, bekalan air luar bandar khususnya ke kawasan pesisir Samarahan menjadi keutamaan kerajaan.

Untuk tujuan itu, katanya, kerajaan akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan Jambatan Sadong agar mampu menampung berat paip-paip air
yang akan dipasang melalui jambatan tersebut.

Katanya, ia akan membekalkan air bersih daripada Empangan Bengoh terus ke Sebuyau, Asajaya, Sadong Jaya dan Simunjan.

“Dalam lingkungan tahun 2022-2023, bekalan air bersih ke kawasan ini akan mencapai 100 peratus,” ujar Abang Johari. — DayakDaily