Abang Johari: Fasa kedua rancangan vaksinasi mulai hari ini, 19 April

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (file pic)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 April: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, fasa kedua rancangan pelaksanaan vaksinasi di negeri ini bermula hari ini, 19 April.

Bercakap pada sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini, beliau memaklumkan bahawa pengesahan telah diberikan oleh Jawatankuasa Khas Memastikan Akses ke Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan bermula di Sibu.


“Hari ini kita mulakan untuk fasa kedua di Sibu dan selepas itu kita rasakan bahawa fasa ketiga akan menyusul dan kita mungkin dapat menyelesaikan rancangan vaksinasi pada bulan Ogos.

“Jadi pada masa sekarang iaitu mulai April, Mei, Jun, Julai dan Ogos kita hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan saya yakin kita dapat mendatarkan lekuk penularan Covid-19,” katanya.

Tambah Abang Johari, Fasa 2 akan memberi tumpuan kepada orang-orang tua dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

Justeru katanya lagi, pelaksanaan vaksinasi bagi Fasa 3 dijangka akan bermula pada bulan Mei 2021 tertakluk kepada bekalan vaksin.

“Oleh itu saya menggesa semua orang untuk mendaftar untuk diberi vaksin melalui laman web JKJAV atau melalui aplikasi MySejahtera.

“Mereka yang tidak mempunyai akses kepada kedua-duanya juga boleh mendaftar melalui Pejabat Daerah terdekat atau Pejabat Residen,” kata Abang Johari.

Menurut Abang Johari, negara lain khususnya Singapura telah berjaya memutuskan rangkaian penularan Covid-19 setelah semua rakyatnya menerima suntikan vaksin.

Justeru jelas beliau, Sarawak mempunyai perancangan iaitu menyelesaikan pelaksanaan vaksinasi terhadap rakyat negeri ini pada bulan Ogos ini dan seterusnya meredakan keadaan. — DayakDaily