Oleh Chris Bishop
KUCHING, 25 Jan: Kerajaan akan melancarkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 8.0) bernilai RM285.47 juta tidak lama lagi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia melibatkan bantuan-bantuan bukan tunai untuk terus membantu mengurangkan beban rakyat bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2022.
“Ini merupakan antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah kerajaan negeri di negara ini.
“Dan ini tidak termasuk peruntukan khas berjumlah melebihi RM91 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi menampung perbelanjaan menangani pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Tambah beliau, dalam suasana ketika ini, rakyat Sarawak daripada pelbagai lapisan telah menempuh pelbagai kesulitan dalam kehidupan harian mereka daripada pandemik Covid 19 yang telah melanda negeri dan negara.
Katanya, kerajaan sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan serta sentiasa memberi keutamaan kepada usaha untuk melindungi keselamatan rakyat.
“Alhamdulillah jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak kian menunjukkan tren penurunan.
“Oleh itu, JPBNS bekerja sepanjang masa untuk memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara,” ujar beliau.
Demi mengurangkan impak Covid-19, sepanjang tahun 2020 dan 2021 Kerajaan telah melaksanakan 7 pakej bantuan kepada rakyat iaitu BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 dengan melibatkan 30 program.
Inisiatif ini secara keseluruhannya telah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 5.30 bilion. — DayakDaily