Abang Johari: 184 menara telekomunikasi siap, 116 lagi pada suku ketiga 2021

File photo for illustration purposes
Advertisement

KUCHING, 3 Ogos: Sebanyak 184 menara telekomunikasi telah siap dibina di Sarawak setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menerusi inisiatif menara telekomunikasi SMA300 katanya, 116 lagi dijangka siap pada suku ketiga 2021.

“Menyedari keunikan muka bumi, jaringan pengangkutan dan telekomunikasi di negeri Sarawak, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah strategik untuk mengurangkan jurang digital di antara penduduk luar bandar dan bandar,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada perasmian Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak yang diadakan secara maya hari ini.

Di peringkat nasional tambah Abang Johari, Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah bersetuju secara prinsip mengenai keperluan mendesak untuk mempercepatkan penyambungan jalur lebar ke kawasan luar bandar di Sarawak.

Katanya, pelancaran menara komunikasi SMA300 Tahap 2 (tambahan), masih dalam peringkat perancangan.

“Namun, setelah siap kelak 600 menara komunikasi tersebut akan melengkapkan Pelan Fiberisasi dan Sambungan Nasional yang ada.

“Inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan ini merangkumi 636 menara telekomunikasi baru.

“Oleh itu, perkongsian strategik ini akan merealisasikan impian kerajaan negeri untuk mencapai liputan jalur lebar 99.9 peratus di seluruh Sarawak,” kata Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement