Abang Jo mahu kes mahkamah rayuan dari Sabah dan Sarawak dikendali hakim dari dua negeri ini

Abang Johari (tiga dari kanan) memukul gendang sebagai simbolik merasmikan Perayaan Hari Gawai Peringkat Negeri 2019 semalam (Jun 15, 2019). Turut kelihatan (dari kanan) Pengerusi Jawatankuasa Penganjur yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Tekonologi Dato Sri Michael Manyin dan Uggah.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 16: Sarawak mahu salah seorang daripada hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes-kes dari Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak adalah dari salah satu dari dua negeri ini.

Abang Johari berkata beliau telah membawa isu ini untuk dibincangkan pada Jawatankuasa Pemandu Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Advertisement

“Biasanya, pendengaran kes di Mahkamah Rayuan yang asalnya dari Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, adalah didengar oleh hakim yang bukan dari dua negeri ini.

“Ini adalah isu yang telah dibincangkan oleh jawatankuasa pemandu supaya kita mempunyai satu struktur bagaimana untuk mengurus diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Gawai Peringkat Negeri 2019 yang diadakan di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari, hakim dari Sarawak lebih arif dengan keadaan dan situasi tempatan serta gaya hidup komuniti tempatan berbanding mereka dari Semenanjung Malaysia.

Abang Johari (tengah) hadir bersama lebih 1,000 tetamu di majlis tersebut.

Di samping itu, beliau juga memaklumkan telah mengarah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk mengetuai jawatankuasa menambahbaik struktur sistem Mahkamah Bumiputera.

Katanya, struktur mahkamah tersebut mestilah berdasarkan budaya dan tradisi masyarakat Bumiputera di negeri ini.

“Mahkamah ini akan membantu kita menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan budaya dan tradisi dan mungkin isu tanah hak adat Bumiputera.

“Penstrukturan semula Mahkamah Bumiputera seharusnya meletakkan mahkamah tersebut setanding dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” katanya.

Ujar Abang Johari, Mahkamah Sivil mungkin tidak dapat mengadili pertikaian yang berkaitan dengan budaya dan tradisi dan di sinilah kepentingan Mahkamah Bumiputera.

Jawatankuasa penambahbaikkan sistem Mahkamah Bumiputera, menurut Abang Johari, akan dibantu mereka yang arif dalam perkara undang-undang. — DayakDaily

Advertisement