KUCHING, 4 Okt: Seramai 96 orang peserta telah menghadiri Program Kesedaran Alam Sekitar di Rumah Richard Kadir di Ulu Layar, Betong pada 28 hingga 29 September 2022 yang lalu.
Program adalah anjuran bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Majlis Daerah Betong (MDB), Centre of Technical Excellence (CENTEXS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
NREB dalam kenyataan berkata, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat tempatan terhadap kepentingan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Ia juga bagi menanam rasa tanggungjawab di kalangan komuniti untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama,” katanya.
Menurut NREB, isu alam sekitar utama yang dihadapi oleh penduduk di Rumah Richard Kadir adalah pengurusan sampah domestik terutamanya di kawasan rumah panjang.
Pelaksanaan program diperlukan bagi memastikan penduduk-penduduk yang tinggal di sekitar pesisiran sungai mempunyai maklumat dan peka terhadap penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar khususnya pencemaran sampah dosmestik.
“Melalui program ini, para penduduk telah didedahkan dengan isu pembakaran terbuka, pengurusan sisa pepejal dan kebersihan sungai melalui ceramah alam sekitar oleh pihak NREB dan DID,” katanya.
Di samping itu, JBPM Daerah Betong juga telah mengadakan ceramah dan demonstrasi tentang pencegahan dan pemadaman api di rumah panjang.
Aktiviti lain yang diadakan adalah seperti demonstrasi membuat kompos oleh Centre of Technical Excellence (CENTEXS) Cawangan Betong, gotong-royong membersihkan tebing Sungai Layar bersama penduduk rumah panjang.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Betong Mahra Salleh dan dihadiri oleh Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak Peggy Ronin Anak Edin. — DayakDaily