953,000 hektar NCR berjaya diukur hingga 31 Okt 2020

The Sarawak Legislative Assembly complex.

KUCHING, 13 Nov: Jabatan Tanah dan Servey  Sarawak (JTSS) berjaya  mengukur seluas 953,000 hektar (2.35 juta ekar) Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara perimeter dengan lebih kurang 753,000 hektar (1.86 juta ekar) daripadanya telahpun diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sehingga 31 Oktober lepas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata tahun ini, fokus pengukuran turut ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu bagi kawasan-kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Katanya, kerja-kerja pengukuran tanah NCR terbabit adalah berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut.

“Sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak 37,039 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 46,113 hektar (113,945 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Bagi mempercepatkan pengukuran tanah NCR ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan pengambilan seramai 467 orang pegawai pelbagai kategori bagi menambah kapasiti sedia ada di Jabatan Tanah dan Survei yang melibatkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM30 juta setahun,” katanya dalam ucapan pengulungan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata, JTSS turut mengarahkan penuntut tanah hadir semasa kerja-kerja pengukuran di lapangan dan menandakan sempadan tanah mereka dengan jelas bagi mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan sekali gus membolehkan pengukuran berjalan dengan lancar.

Tegasnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan program Pengukuran dan Pewartaan NCR dan akan terus menyediakan peruntukan yang diperlukan di samping peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan. — DayakDaily