92 lagi tapak akses 5G akan di lancar – Julaihi

Julaihi (lima kanan) melancarkan Portal Property Axis di Kuching.

KUCHING, 14 Jan: Sebanyak 92 lagi tapak bagi penyediaan akses perkhidmatan 5G akan dilancarkan di seluruh negeri.

Menurut Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, ia adalah usaha berterusan Kerajaan Sarawak bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

Katanya, penyediaan perkhidmatan internet kini sedang beralih secara berperingkat daripada 3G ke 4G dan seterusnya ke 5G.


“Terbaharu saya dimaklumkan bahawa sekurang kurangnya 92 tapak 5G boleh dilancarkan.

“Ini melibatkan bandar Kuching, Miri dan Bintulu,” katanya dalam ucapan di Majlis Pelancaran Portal Property Axis di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tambah Julaihi, sebanyak 3,500 menara telekomunikasi telah dibina di seluruh negeri setakat ini.

Ujar beliau, jumlah tersebut mencapai 50 peratus daripada 7,000 menara yang harus dibina bagi penyediaan kemudahan Internet. — DayakDaily