This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 20 Ogos: Malam kedua terakhir Kuching Food Fair 2023 pada semalam merekodkan sejumlah 90,000 pengunjung.
Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, ia merupakan satu rekod baharu bagi jumlah terbanyak pengunjung bagi satu malam.
“Malam tadi kita mencatat satu lagi rekod baharu bagi jumlah kehadiran pengunjung terbanyak bagi satu malam.
“Minggu lepas kita merekodkan sejumlah 81,000 pengunjung, tetapi malam tadi kita merekodkan 90,000 pengunjung.
“Acara Zumba pada semalam antara penyumbang kepada rekod baharu ini,” katanya ketika ditemui di Perasmian Kejohanan Bina Badan Klasik Bandaraya Kuching Selatan di Pentas Terbuka MBKS hari ini.
Dengan rekod baharu itu, tambah Wee, jumlah keseluruhan pengunjung bagi tempoh 23 malam Kuching Food Festival 2023 kini mencecah 1 juta.
Katanya, acara tersebut pada tahun lepas mencatatkan jumlah keseluruhan 1.13 juta pengunjung.
“Malam ini adalah malam terakhir ‘festival’ dan saya berharap dapat mengekalkan jumlah keseluruhan pengunjung seperti tahun lepas,” ujar Wee.
Pada acara tersebut, Wee bersama Kapitan Desmond Thian dan Douglas Jerukan telah menerima Anugerah Ikon Bina Badan Sarawak 2023.
Anugerah oleh Persatuan Bina Badan Sarawak itu adalah sebagai menghargai sumbangan mereka dalam sukan tersebut. — DayakDaily