9 kedai membeli barangan lusuh diperiksa polis dalam “Ops Lusuh Bersepadu”

Sekumpulan anggota polis memasuki dan memeriksa kedai barangan lusuh dalam "Ops Lusuh Bersepadu" di kawasan pentadbiran Balai Polis Gita dan Balai Polis Bintawa, di Kuching.

KUCHING, Nov 20: Sebanyak sembilan kedai membeli barangan lusuh telah diperiksa pihak polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam “Ops Lusuh Bersepadu” di kawasan pentadbiran Balai Polis Gita dan Balai Polis Bintawa, di sini, semalam.

Pemeriksaan tersebut bermula jam 2.30 petang sehingga 6 petang telah diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Operasi), Supt Naazron Abdul Yusof bersama 16 pegawai, 44 orang anggota lain pangkat dengan bantuan 19 orang bantuan agensi luar terdiri daripada DBKU, MBKS, Sesco, Telekom, Digi, Maxis dan Celcom.

“Tujuan pemeriksaan berikutan kes kecurian kabel, wayar dan besi milik kerajaan serta syarikat yang berlaku sekitar Daerah Kuching dan juga untuk memeriksa samada premis mematuhi syarat peniagaan,” menurut kenyataan media IPD Kuching di sini, semalam.

Pemeriksaan itu juga bagi memastikan kedai terbabit di bandaraya ini tidak membeli besi, wayar atau dawai tembaga yang dicuri dari DBKU, MBKS, Sesco, Telekom, Digi, Maxis dan Celcom.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis mendapati tiada sebarang kesalahan yangg dilakukan di bawah Akta Peniaga Sekenhend 1946 dan lesen masih sah laku. Tiada tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya.

Namun begitu, tindakan pemeriksaan akan terus dijalankan pihak polis dari IPD Kuching selepas ini supaya kedai-kedai berkenaan sentiasa mematuhi syarat dalam lesen perniagaan mereka.

Bagi peniaga, jika melakukan kesalahan boleh diambil tindakan seperti di bawah Akta Peniaga Sekenhend Dealer 1946, Seksyen 6 sekiranya tidak mempunyai lesen, Seksyen 7 (tidak mempamerkan lesen), Seksyen 13 (3) (gagal memberi maklumat mengenai harta curi).

Selain itu tindakan juga boleh diambil bagi kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan seperti kesalahan menerima dan memiliki barang curi dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan bagi kesalahan dengan sengaja memindah dan menghapuskan harta curi serta Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak. — DayakDaily