88 calon STPM 2023 Sarawak catat PNGK 4.0

Dr Azhar (empat dari kanan) bersama calon cemerlang STPM 2023 di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 23 Julai: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan hari ini menyaksikan seramai 88 calon sekolah di Sarawak telah mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) maksima 4.0.

Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad berkata, jumlah tersebut adalah 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan 5,838 orang calon sekolah berdaftar.

“Selain itu, seramai 1,910 calon atau bersamaaan 33.56 peratus telah memperolehi PNGK 3.0 hingga 3.99,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Advertisement

Bagi pencapaian sekolah pula, Dr Azhar berkata sebanyak 16 buah sekolah di negeri ini telah merekod keputusan STPM 2023 yang memberansangkan.

Katanya, kesemua 16 buah sekolah itu merekodkan PNGK melebihi 3.0 dengan 8 buah sekolah adalah dari Sibu.

Lapan sekolah tersebut ialah SMK Sacred Heart, SMK Chunghua , SMK Sungai Merah, SMK Kampung Nangka, SMK Bandar Sibu, SMK Methodist, SMK Rosli Dobhy dan SMK Durin.

Manakala 3 buah sekolah lain adalah dari Kuching iaitu SMK Bako, SMK Green Road dan SMK Batu Lintang.

Lima sekolah lain ialah SMK Saribas Betong, SMK Merbau Miri, SMK St Anthony Sarikei dan SMK Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab Padawan.

“Pada tahun 2023, Purata Nilai Gred Keseluruhan bagi Negeri Sarawak ialah 2.69 berbanding 2.75 pada tahun 2022,” ujar beliau.

Bagi kohort STPM 2023, seramai 5,860 calon di seluruh Sarawak telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan di 83 pusat berdaftar.

Daripada jumlah itu, seramai 22 orang adalah merupakan calon persendirian.

Dr Azhar turut memaklumkan bahawa seorang calon terbaik STPM 2023 dari kategori istemewa iaitu fizikal/spastik Mohammad Nazif Idham telah dijemput untuk menerima anugerah di Majlis Peperiksaan Malaysia.

“Mohammad Nazif dari SMK Merapok di Lawas telah memperolehi keputusan cemerlang 4.0 PNGK,” ujar Dr Azhar. ā€” DayakDaily

Advertisement