861,136 hektar tanah diukur setakat Jun 2018 — Awang Tengah


KUCHING, Julai 18: Setakat Jun 2018, seluas 861,136 hektar (2,127,868 ekar) telah berjaya diukur perimeternya.

Daripada jumlah tersebut, seluas 677,114 hektar (1,673,149 ekar) di seluruh negeri Sarawak telah pun diwartakan, kata Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut beliau, sejak pelaksanaannya pada Oktober 2010, sejumlah RM154.5 juta telah diperuntukkan dan bagi Rancangan Malaysia Ke-11 sahaja, sejumlah RM90 juta telah diluluskan.

“Kerajaan sentiasa mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah mereka. Sebenarnya, pengukuran tanah hak adat Bumiputera (NCR) telah pun dilaksanakan sejak tahun 1960-an lagi melalui program ‘Operasi Penyelesaian’, sementara ‘Program Pengukuran Kampung Tradisional’ telah dilaksanakan sejak awal tahun 2000.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk mempercepatkan pengukuran tanah NCR yang sahih dengan melaksanakan pengukuran perimeter di bawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu,” kata beliau dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) disini semalam.

Beliau juga berharap kerajaan persekutuan akan meneruskan peruntukan bagi kelangsungan program tersebut.

“Program ini dilaksanakan melalui dua peringkat iaitu peringkat pertama pengukuran perimeter dan peringkat kedua pengukuran lot individu.

“Dalam peringkat pertama, pengukuran secara perimeter dilaksanakan untuk pewartaan kawasan tersebut sebagai Rizab Komunal (pertanian) Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Dalam peringkat kedua program ini pula, kawasan di bawah Seksyen 6 tersebut akan diukur secara lot individu. Setakat ini, sebanyak 21,810 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 27,407 hektar (67,722.73 ekar). Sebanyak 9,461 lot seluas 10,512 hektar (25,974 ekar) telah pun dikeluarkan dengan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya.

Awang Tengah juga menyeru semua ahli-ahli DUN dan semua pihak yang menuntut tanah NCR agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Tanah dan Survei supaya kerja-kerja pengukuran ini dapat berjalan dengan lancar khususnya yang melibatkan lot-lot individu.

“Kerajaan negeri Sarawak tetap prihatin terhadap rakyat yang berpendapatan rendah dan demi meringankan beban kewangan mereka untuk mendapatkan lot-lot kediaman, kerajaan telah melaksanakan program yang dikenali sebagai Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK),” kata beliau.

Beliau menambah, setakat Jun 30, 2018, sejumlah 46,798 lot kediaman berjaya disediakan. Daripada jumlah itu, 36,150 lot telah diagihkan kepada mereka yang layak.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, jumlah keseluruhan peruntukan yang telah diluluskan untuk melaksanakan 33 SPK dan tiga SPS ialah sebanyak RM194.4 juta. Manakala, bagi skim-skim yang tidak diluluskan akan dicadangkan semula di dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah membuat keputusan berkuatkuasa pada Mei 6, 2018, untuk menurunkan premium tanah kepada tidak melebihi RM2,500 setiap lot di semua SPS dan SPK kecuali SPS Demak Fasa 3, 4 dan 6.

“Malah sebagai kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat, sebarang bayaran premium tanah yang telah dibuat melebihi RM2,500 bagi lot di SPS dan SPK akan dibayar balik.

“Pembayaran balik premium tanah ini akan melibatkan pemilik asal, lot yang telah dipindah milik kepada pemegang surat kuasa mentadbir (‘Letter of Administration’) dan pindah milik atas dasar kasih sayang semulajadi (‘natural love and affection’) dalam kalangan ahli keluarga terdekat. Walau bagaimanapun, pembayaran balik lebihan premium ini tidak akan melibatkan lot-lot yang dipindah milik melalui jual beli tanah,” katanya.

Awang Tengah berkata, pemilik tanah yang terlibat perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk mendapatkan bayaran balik lebihan premium tersebut. Permohonan ini boleh dikemukakan sehingga Oktober tahun hadapan iaitu Oktober 31, 2019.

Keputusan pembayaran balik ini akan memberi impak kewangan kepada kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM43 juta yang akan dinikmati oleh 7,174 orang pemilik tanah. — DayakDaily