Raih untung segera RM5,000 jual Toyota Hilux curi, polis tahan seorang penganggur

Royal Malaysia Police logo

MIRI, Julai 18: Keseronokan seorang perompak menikmati keuntungan segera dengan menjual sebuah Toyota Hilux yang dicuri dengan harga RM5,000 berakhir apabila dia ditahan sepasukan anggota polis di sebuah hotel bajet di Jalan Lee Tak di sini.

Suspek lelaki berusia 33 tahun itu dicekup pada pukul 3.30 petang semalam hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan laporan diterima, pemilik Toyota Hilux itu telah membuat laporan polis selepas mendapati kenderaan pacuan empat roda miliknya telah dicuri di Taman Permai di sini.


Kata jurucakap sama, kenderaan itu dipercayai hilang semasa diletakkan di depan sebuah rumah dalam keadaan berkunci iaitu kira-kira pukul 9 pagi.

“Panik dengan kehilangan Toyota Hilux itu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk melakukan siasatan selanjutnya.

“Mangsa turut mendakwa kehilangan beberapa dokumen penting yang diletakkan di dalam Toyota Hilux berkenaan,” katanya hari ini.

Jurucakap polis menambah, suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu telah dibawa dan ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun,” katanya lagi. — DayakDaily