KUCHING, 15 Mei: Sebanyak 83,968 lot individu tanah hak adat bumiputera (NCR) telah berjaya diukur setakat 30 April 2024.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia melibatkan kawasan seluas 102,636 hektar atau 253,613 ekar.
“Kesemua lot individu ini telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.
Jelas Awang Tengah, bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan.
Katanya, mereka hendaklah menanda sempadan tanah dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar.
Sejak tahun 2017 ujarnya, fokus pengukuran ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
“Ia adalah bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, Awang Tengah memaklumkan bahawa sehingga 30 April 2024, seluas lebih kurang 1,145,465 hektar atau 2,830,444 ekar telah berjaya diukur secara perimeter.
Manakala seluas lebih kurang 908,460 hektar atau 2,244,805 ekar daripadanya telah pun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Pewartaan untuk baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan.
“Kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat.
“Mana-mana kawasan yang terlibat dengan kes mahkamah, ia hanya akan diukur setelah kes tersebut selesai atau pihak yang terlibat menarik balik tuntutan mereka di mahkamah dan membuat permohonan baharu untuk menyertai program ini,” tegas beliau. — DayakDaily