KUCHING, 17 Jan: Seramai 83,852 orang murid seluruh Sarawak telah terpilih untuk mengikuti Program Susu Sekolah (PSS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada sesi persekolahan 2023/2024.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kriteria pemilihan murid adalah terdiri daripada murid sekolah rendah dengan pendapatan bulanan keluarga berjumlah RM1,169 dan kurang.
“Iaitu keluarga dengan RM310 per kapita,” katanya dalam ucapan pada Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Borneo: Zon 2 (Sabah B) & Zon 3 (Sarawak) bagi Tahun 2023/2024.
Teks ucapan Abang Johari dibaca Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Tambah Abang Johari, amalan pengambilan minum susu mempunyai kebaikan dari aspek komposisi nutrisi dan biokimia.
Katanya, ia sangat lengkap bagi mengisi keperluan asas setiap murid yang baru kenal dengan dunia luar sebagai daya tahan dijangkiti oleh penyakit.
“Oleh itu, amalan memberikan susu kepada murid akan menjamin kesihatan fizikal dan mental,” ujar beliau. — DayakDaily