KUCHING, 3 Okt: Seramai 837 individu ditangkap kerana terlibat dengan jenayah dadah di Kuching dalam tempoh Jun hingga September tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata tangkapan adalah terdiri daripada 765 lelaki dan 75 wanita berusia sekitar 15 hingga 64 tahun.
Katanya, tangkapan dibuat dalam beberapa operasi dan serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuching.
“Jumlah kes dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 760 kes dengan pelbagai rampasan dadah iaitu syabu (431.11 gram), ketamin (242.07 gram), ganja (321.59 gram), pil Ecstacy (283 biji), pil Erimin 5 (469 biji), serbuk Ecstacy (265 gram) dan pil Nospan (762 biji).
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah sekitar RM104,713,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya juga, kadar pertuduhan kesemua kes dalam tempoh kajian sebanyak 53.35 peratus berjaya dilaksanakan dari keseluruhan kes.
Operasi pembanterasan jenayah narkotik ini akan diteruskan dan kerjasama orang ramai amatlah diperlukan. — DayakDaily