77 minit tangkap ular tedung sepanjang 3 meter

Anggota APM sedang berusaha menangkap seekor ular tedung di Kampung Taee, Serian.
Advertisement

SERIAN, Jun 12: Misteri bunyi pelik dari bahagian dapur rumah sebuah keluarga di Kampung Taee di sini rupa-rupanya daripada seekor ular tedung.

Kehadiran ular berukuran kira-kira 3 meter panjang itu disedari salah seorang penghuni rumah tersebut semasa dia hendak pergi memasak.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Serian Kapten (PA) Jostan Ringin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan reptilia berbisa itu pada pukul 4.55 petang.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima laporan mengenai ular tedung itu, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Apabila sampai di rumah pengadu, anggota APM mendapati terdapat seekor ular tedung di dapur kediaman berkenaan.

“Anggota APM kemudian bertindak menangkap ular tedung tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jostan menambah, anggota APM mengambil masa kira-kira sejam 11 minit untuk menangkap reptilia berbisa itu.

Katanya, operasi menangkap ular tedung itu agak sukar pada mulanya kerana reptilia tersebut bertindak agresif.

“Operasi menangkap reptilia itu tamat pada pukul 6.41 petang.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghubungi APM sekiranya menemui haiwan berbisa dan tidak digalakkan bertindak sendiri bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement