75 agensi bakal ditarik balik lesen penubuhan polis bantuan — Pengarah JPJKK

Rosli (empat dari kanan) menekan butang sebagai simbolik perasmian logo baharu MAPA di majlis penutupan persidangan. Turut kelihatan (dua dari kanan) Ramli dan Aishah.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 3: Sejumlah 75 agensi menghadapi kemungkinan ditarik balik lesen polis bantuan jika masih gagal mendaftar menjadi ahli Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tindakan akan diambil jika agensi terbabit masih ingkar.

Advertisement

“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Apabila diberi lesen untuk menubuhkan polis bantuan, agensi perlu menjadi ahli MAPA.

“Sekiranya 75 agensi ini masih tidak memberi perhatian, pihak JPJKK akan menyemak semula lesen polis bantuan yang telah diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Persidangan Tahunan MAPA Ke-31 tahun 2019 di sini, hari ini.

Di samping itu, kata Rosli, surat peringatan berhubung perkara tersebut akan dihantar kepada 75 agensi terbabit dalam masa terdekat.

Beliau juga memaklumkan bahawa mulai tahun 2020, JPJKK akan menjalankan audit penjawatan ke atas semua agensi yang telah menubuhkan polis bantuan di seluruh negara.

Katanya, ia untuk memastikan jumah penjawatan dan kekuatan adalah setimpal dengan penugasan.

Sehubungan dengan itu, tegas Rosli, mana-mana agensi yang gagal mengambil tindakan untuk mengisi kekosongan jawatan juga berkemungkinan ditarik balik lesen.

“Kita difahamkan bahawa ada beberapa agensi semenjak diluluskan lesen telah gagal mengisi kekosongan jawatan.

“JPJKK akan melakukan pengauditan dan menilai semula penubuhan polis bantuan di agensi terbabit,” ujar beliau.

Menurut Rosli, sejumlah 256 agensi di seluruh negara telah diluluskan lesen untuk penubuhan polis bantuan sehingga kini.

Persidangan Tahunan MAPA Ke-31 tahun 2019 yang bermula dari Disember 1 hingga 3 telah dihadiri 250 delegasi yang mewakili 85 agensi di seluruh negara.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din dan Presiden MAPA Datuk Aishah Mohammad. — DayakDaily

Advertisement