714 veteran ATM dianugerah PJM

Ikmal Hisham menganugerahkan pingat kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Ogos: Seramai 713 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM), di sini hari ini.

Majlis yang diadakan itu merupakan majlis penganugerahan yang pertama diadakan dalam fasa endemik Covid-19 di Malaysia Timur.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz hadir untuk menyempurnakan majis penganugerahan di sebuah hotel di sini

Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

Setakat ini, seramai 31,221 veteran ATM telah menerima PJM, manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan PJM akan dijadualkan penganugerahan pada masa akan datang.

PJM ini akan dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang telah terlibat dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas.

Turut menerima PJM ialah anggota yang bertugas secara langsung tidak kurang daripada enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM).

Ia termasuk operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dari 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.

PJM juga dianugerahkan kepada anggota yang terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan tugas menentang PKM dan PKKU. — DayakDaily