700 kotak minuman keras disyaki diseludup dirampas bernilai RM282k, lelaki warga tempatan ditahan

700 kotak arak disyaki diseludup dirampas dalam Ops Kontraban petang tadi.

MIRI, 8 Nov: Sejumlah 700 kotak minuman keras jenama Carlsberg yang tidak bercukai , serta sebuah lori ditemukan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM282,035.84 pada petang Isnin dalam satu Ops Kontraban di tepi jalan Miri-Bintulu, Sepupok, Batu Niah.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri, sekitar jam 4.30 petang

Katanya, turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan.


“Semasa pemeriksaan dilakukan, pemandu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada pihak Kastam,” Alexson berkata.

Jelasnya minuman keras tersebut disyaki dibawa tanpa cukai Kastam dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967. — DayakDaily