70 premis judi haram dipotong bekalan elektrik

Anggota polis memerhatikan petugas Sarawak Energy memotong bekalan elektrik di premis perjudian haram.

KUCHING, Okt 5: Sebanyak 70 buah premis yang disyaki masih berdegil menjalankan aktiviti perjudian haram dipotong bekalan elektriknya dalam usaha pihak berkuasa
melumpuhkan aktiviti perjudian di negeri ini.

Tindakan memotong bekalan elektrik tersebut adalah mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, kesemua premis yang dipotong bekalan elektrik itu melibatkan kedai-kedai yang menjual nombor loteri haram dan judi dalam talian.


Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pihak Sarawak Energy.

70 premis judi haram dipotong bekalan elektrik semasa operasi bersama Sarawak Energy

“Sejak Isnin lepas (1 Okt) hingga hari ini, sebanyak 70 premis yang masih degil menjalankan aktiviti judi haram telah dipotong bekalan elektrik.

“Untuk rekod, di Kuching sahaja 15 premis telah dipotong bekalan elektrik, manakala di Padawan (19), Miri (22),  Sibu (4), Kota Samarahan (3) dan Sarikei (7),” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Denis memberitahu sepanjang tempoh sama, sebanyak 48 serbuan telah dilakukan melibatkan premis menjual loteri haram.

Manakala katanya, 22 lagi serbuan membabitkan pusat perjudian dalam talian.

“Polis dan Sarawak Energy akan meneruskan kerjasama seumpama dalam usaha kita melumpuhkan kegiatan perjudian haram di Sarawak,” katanya. — DayakDaily