65 PATI ditangkap dan diusir tentera sejak Januari

PATI yang diusir di Serikin semalam.

KUCHING, 29 Mac: Tentera Darat melalui Divisyen Pertama Infantri Malaysia berjaya mengusir 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia sejak Januari hingga semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata dalam tempoh tersebut sebanyak 27 kes tangkapan dibuat dengan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM410,792.

“Bermula pada bulan Jan 2022 sehingga kini, Tentera Darat melalui 1 Divisyen yang beroperasi di sempadan Malaysia–Indonesia telah mengusir seramai 65 PATI dalam 27 kes tangkapan dengan nilai rampasan terkumpul berjumlah RM 410,792.06.


“Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya semalam (28 Mac) seramai empat PATI diusir selepas ditangkap cuma masuk ke negara ini secara haram di kawasan ladang sawit berhampiran pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin, Bau.

Dedahnya, kesemua PATI terbabit berusia lingkungan 19 hingga 32 tahun ditangkap sekitar jam 12.45 tengah hari.

“Individu tersebut ditahan dan hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Tiada sebarang barangan terlarang yang dijumpai selain pakaian persendirian dan barangan peribadi,” katanya.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bau dan kesemua PATI telah diusir keluar di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia. ― DayakDaily