6 kanak-kanak terima Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak

Fatimah bersama pegawai kementerian merakamkan kenangan bersama penerima sijil dan dokumen sementara.
Advertisement

KUCHING, 12 Jun: Enam kanak-kanak hari ini menerima Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) yang dilulus oleh Kerajaan Sarawak.

Dokumen tersebut telah diserahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Enam penerima ialah Siti Aisyah Manda Abdullah, Mohammad Abdullah, Wong Sing Chen, Ting Khee Zhuang, Chong Qiung Hung dan Patrick Pit Kanang (tidak hadir).

Advertisement

“Inisiatif pengeluaran DSITKS kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang layak adalah manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak terhadap agenda sejagat.

“Akses kepada pendidikan dan kesihatan sangat penting kerana ianya dikenalpasti sebagai salah satu daripada faktor pencetus kepada beberapa isu sosial yang diberi fokus oleh Kementerian,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada sidang media selesai majlis penyerahan di Kuching hari ini.

Pada 21 Julai 2022, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk mengeluarkan DSITKS agar individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan.

Antara 1 November 2022 sehingga 13 Mei 2024, Kementerian telah menerima sebanyak 700 permohonan.

Daripada jumlah ini, sebanyak 223 permohonan (atau 32 peratus) memenuhi syarat; manakala 477 permohonan (atau 68 peratus) tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Pada majlis yang sama, Fatimah turut menyerahkan Sijil Kewarganegaraan kepada tujuh individu.

“Sijil dilulus oleh Menteri Dalam Negeri dibawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Kementerian komited untuk menangani isu dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan untuk membantu golongan terjebak di Sarawak.

“Ia melalui rangkaian kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN),” ujar Fatimah. — DayakDaily

Advertisement