6 ditangkap positif dadah dalam pusat hiburan di Tabuan Jaya

PDRM logo
Advertisement

KUCHING, 9 Julai: Seramai enam lelaki ditangkap kerana disahkan positif dadah dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Tabuan Jaya oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata keenam-enam suspek merupakan antara 42 individu yang diperiksa sepanjang operasi tersebut yang dijalankan dari jam 9 malam hingga 2.30 pagi.

Katanya, keenam-enam suspek disahkan positif dadah selepas menjalani saringan awal air kencing.

Advertisement

“Keenam-enam mereka disahkan positif dadah jenis Ketamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun.

Selain itu, IPD Kuching turut melakukan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah dan telah melakukan pemeriksaan ke atas empat buah premis hiburan dan enam hotel bajet di sekitar bandaraya Kuching.

Dalam operasi tersebut, seramai 72 orang diperiksa dan turut diarahkan menjalani saringan awal air kencing.

Tujuan operasi adalah untuk mengesan sebarang aktiviti kesalahan jenayah.

“Op cegah jenayah ini merupakan tindakan proaktif IPD Kuching untuk melakukan pencegahan jenayah musim cuti perayaan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement