Remaja dihanyutkan arus deras, ditemui mati di Bintulu

PPDA Bomba berjaya menemui mangsa.

BINTULU, 9 Julai: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang dibawa arus deras di sungai berdekatan Rumah Chundi, Kilometer 9 Jalan Samarahan, di sini ditemui mati.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa, 18 tahun, dilaporkan hilang semasa sedang mandi di sungai berkenaan sekitar jam 3.12 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Pencarian awal dilakukan pasukan penyelamat dengan teknik ‘surface searching’ dan Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka anggaran 10 meter dari lokasi.

“Pada jam 6.15 petang, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah menjumpai mangsa di kedalaman 22 kaki dan 15 meter dari PKB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada jam 6.30 petang. — DayakDaily