KUCHING, 6 Mac: Seramai 5,900 warga Indonesia di Sarawak telah mendapat dokumen perjalanan sah melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, kata Konsul Jenderal Republik Indonesia, Raden Sigit Witjaksono.
Menurut laporan TVS, Raden berkata program berlangsung sepanjang tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu.
Katanya, pihak konsulat Jenderal Repulik Indonesia (KJRI) komited untuk memberikan kerjasama bagi mengurangkan jumlah warganegaranya yang bekerja tanpa dokumen perjalanan sah sehingga perlu dihantar pulang.
“Jika kita tidak bantu usaha pendokumentasian ini, ia akan menyebabkan lebih ramai warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditangkap.
“Sama ada kerana tiada dokumen, tinggal melebihi tempoh, kemasukan secara haram atau apapun yang berupa pelanggaran peraturan imigresen yang perlu kita hantar pulang,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Tambah Raden, pada tahun 2022 konsulat sudah menghantar pulang seramai 3,300 warganegara Indonesia.
Manakala pada tahun lepas, seramai 4,000 pekerja asing telah dihantar pulang selama setahun. — DayakDaily