KUCHING, 24 Nov: Setakat 23 November 2021, seramai 570,616 orang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 di negeri ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan berkata, keutamaan untuk dos penggalak vaksin pada masa ini adalah individu berusia 40 tahun ke atas.
“Ia termasuk petugas barisan hadapan dan dewasa berpenyakit kronik berusia 18 hingga 59 tahun.
“Manakala, bagi pemberian dos ketiga adalah bagi golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan,” katanya.
Menurut JPBNS lagi, aktiviti pemberian dos penggalak ini dilaksanakan di klinik swasta, hospital swasta, klinik kesihatan, PPV Awam dan secara mobile outreach.
Pemberian dos penggalak di klinik swasta dan hospital swasta adalah secara percuma.
“Mereka yang layak menerima dos penggalak akan mendapat tarikh janji temu melalui MySejahtera untuk hadir di mana-mana fasiliti kesihatan yang telah ditetapkan,” menurut JPBNS.
Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengambil maklum tentang rungutan orang ramai mengenai tarikh temu janji bagi dos penggalak yang lambat diterima melalui MySejahtera dan telah menyebabkan mereka terlepas tarikh temu janji tersebut.
Bagi mereka yang menghadapi isu seperti di atas, mereka boleh menghubungi PPV Awam, klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta yang telah ditetapkan atau mana-mana klinik kesihatan yang terdekat untuk mendapatkan tarikh temu janji baru.
Tarikh temujanji baru akan diberi mengikut kekosongan slot yang ada seawal hari mereka menghubungi PPV berkaitan.
JPBNS menggesa orang ramai untuk sentiasa memeriksa tarikh temujanji di MySejahtera ataupun boleh menghubungi (pada waktu pejabat) mana-mana PPV yang telah disenaraikan untuk mendapatkan temujanji. — DayakDaily