KUCHING, Mac 5: Polis Sarawak terus membanteras aktiviti perjudian haram di negeri ini dengan menahan 54 kaki judi pada minggu lalu.
Kesemua kaki judi itu ditahan menerusi 47 serbuan berasingan di seluruh negeri ini mulai Feb 26 hingga Mac 4 lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, semua individu yang berumur antara 19 hingga 64 tahun, dan lima warga asing turut diberkas.
Katanya, 26 serbuan telah dilakukan di premis-premis menjual loteri haram, manakala 21 lagi terhadap pusat judi siber.
“Hasil kesemua serbuan itu polis telah merampas wang tunai sebanyak RM39,436 disyaki hasil daripada kegiatan haram.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan seperti mesin cetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan, telefon bimbit serta peralatan lain yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dev menambah, serbuan-serbuan bagi memerangi kegiatan judi haram itu telah dilakukan di Kuching, Kota Samarahan, Sibu,Bau, Serian, Mukah, Marudi, Betong, Meradong, Sarikei, Lubok Antu, Bintulu dan Miri.
“Semua suspek ditahan reman bagi siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya lagi. — DayakDaily