5 warga asing kru bot tunda ditahan bersama muatan pasir

Sebuah bot tunda dan tongkang bersama lima kru warga asing ditahan disyaki bawa pasir tanpa dokumen.
Advertisement

BINTULU, 5 Sept: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda dan tongkang sedang bergerak pada jarak lebih kurang 1.6 batu nautika dari Tanjong Kidurong, Bintulu, Sarawak sekitar jam 11.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda dan tongkang tersebut ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen berkaitan vesel dan muatan disyaki pasir.

Turut ditahan seramai lima orang kru bot tunda.

Advertisement

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru warga Indonesia berusia 31 sehingga 56 tahun itu telah tamat tempoh permit kerja dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan di Malaysia.

Terdapat muatan disyaki pasir dijumpai di atas tongkang semasa diperiksa.

Kesemua kru beserta bot tunda dan tongkang ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah.

Manakala kru yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana permit kerja telah tamat tempoh yang mana boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim Supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan makiumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily

Advertisement