5 sekolah kurang murid di Tebedu mulakan inisiatif penggabungan — Maszlee

Maszlee (dua kanan) menunjuk ke arah bangunan sekolah yang hampir siap pada lawatan kerja ke SMK Sungai Tapang.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Sept: Inisiatif menggabungkan sekolah kurang murid (SKM) di Sarawak bermula di Daerah Tebedu, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Katanya, kekangan untuk merealisasikan inisiatif tersebut telah diatasi dan ianya melibatkan penggabungan lima buah sekolah.

Advertisement

“Walaupun agak mencabar, tetapi dengan bantuan kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan negeri, kita telah mulakan yang pertama di Daerah Tebedu,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke SMK Sungai Tapang di Kota Sentosa, di sini, hari ini.

Lima buah sekolah berkenaan adalah SK Tesu, SK Daha, SK Gahat Mawang, SK Kujang Sain, yang akan ditutup dan dipindahkan ke SK Kujang Mawang.

Antara kekangan dalam perlaksanaan inisiatif penggabungan SKM, tambah Maszlee, adalah penerimaan masyarakat sendiri yang mempunyai keterikatan emosi dengan sekolah.

“Sekolah itu ada 10 atau 20 orang murid dan apabila diarah pindah ke sekolah lain mereka agak saya ngkan sekolah lama dan begitu juga ada sesetengah sekolah risau lesen akan hilang.

“Sebenarnya itu tidak berlaku, kita cuma pindahkan sahaja,” katanya sambil memberi contoh “sekolah mission” dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

Tenaga pengajar SMK Sungai Tapang merakamkan kenangan bersama Maszlee (duduk lima kanan). Turut kelihatan Manyin (duduk lima kiri).

Mengulas mengenai lawatan kerja beliau hari ini, Maszlee memaklumkan yang projek membina 24 bilik darjah tambahan SMK Sungai Tapang, Kota Sentosa, telah siap 97.9 peratus.

Projek bernilai RM34.8 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan November ini.

Lawatan ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan projek dapat siap mengikut jadual dan tiada projek dalam kategori sakit, katanya.

“Ini adalah usaha kita kurangkan projek dalam kategori sakit dan banyak telah ditinggalkan kerajaan terdahulu, Barisan Nasional. Kita lakukan pemantauan awal untuk memastikan projek tiada masalah,” tambah Maszlee.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidiki Teknologi Datuk Seri Michael Manyin turut hadir dalam lawatan tersebut. — DayakDaily

Advertisement