5 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah hangus di Simunjan

Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran.

SIMUNJAN, 22 Mei: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka di Kampung Pantong Melayu, di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.25 petang dan kemudian anggota dari Balai Bomba Simunjan terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Setiba di lokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur tidak kekal dan telah terbakar sepenuhnya.

Menurutnya, rumah tersebut didiami sebuah keluarga terdiri daripada lima orang dan mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum api semakin marak.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.44 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.20 petang.


Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily