5 geng penjenayah ditumpas polis

ACP Lim menunjukkan rampasan barangan curi semasa sidang akbar.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Sept: Polis Miri menumpaskan lima geng penjenayah yang mendalangi kegiatan curi motorsikal, pecah rumah dan ragut menerusi beberapa siri serbuan dilakukan awal bulan September.

Ketua polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah dalam satu sidang media pada Selasa (8 September) di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD) berkata, semua suspek yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 18 hingga 31 tahun.


Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol dan pegawai penyiasat ASP Lee Chee Keat.

“Kesemua suspek, termasuk suspek wanita yang merupakan pembeli barangan curi mempunyai rekod jenayah lampau,” ujar Lim.

Menurut Lim, geng yang ditumpaskan itu ialah Geng Shafiq( ragut); Geng Wesley dan geng Valentine (pecah rumah); geng Moses serta Geng Arip (curi motosikal).

Turut dirampas semasa serbuan ialah empat buah motorsikal, lima unit telefon bimbit, satu unit mesin masuh, seunit television, dua oven memasak, satu tong gas memasak dan sebuah kipas angin.

Kesemua suspek ditahan dalam serbuan berasingan yang bermula pada 1 dan 2 September diketuai Inspektor Fredly Juing.

“Serbuan dilakukan di beberapa lokasi antaranya Kampung Bukit Kanada, Kampung Lusut, Quadruplex Permyjaya,” jelas Lim.

Menurutnya, daripada 12 suspek yang ditangkap itu, lapan telah ditahan dalam serbuan yang dilakukan pada September 1, susulan serbuan tersebut, membawa kepada penangkapan empat suspek pada hari berikutnya (2 September).ā€”DayakDaily