Fadillah: Projek SSLR ganti pembinaan 3 jambatan dibatalkan PH

Fadillah Yusof (file photo).

KUCHING, 8 SEPT: Peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.2 bilion bagi pembinaan tiga jambatan yang dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan(PH) telah digantikan dengan Projek Sarawak-Sabah link Road(SSLR), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Namun katanya, Kerajaan Persekutuan turut mengambil maklum bahawa Kerajaan Sarawak telah mengambil alih serta meneruskan pelaksanaan projek ketiga-tiga jambatan berkenaan.

“Tiga projek jambatan yang telah dibatalkan semasa pentadbiran kerajaan PH ialah pembinaan Jambatan Batang Lupar sepanjang 5 km dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM1.0 billion.


“Kedua, membina Jambatan Batang Igan sepanjang 1.34 km dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM310.8 juta.

“Dan ketiga, membina Jambatan Batang Rambungan, Matang sepanjang 0.6 km dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM142.2 juta,” katanya menerusi jawapan bertulis pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Fadillah menjawab soalan Senator Dr.Nuing Jeluing yang bertanya berkenaan jalan sisir pantai dan jambatan-jambatan di Sarawak yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat waktu Barisan Nasional tetapi telah dibatalkan oleh Kerajaan PH.

Dalam pada itu, Fadillah memaklumkan bahawa kerajaan telah menyiapkan pembinaan 3 jambatan di sepanjang jalan pesisir dan telah dibuka kepada awam.

Katanya, 3 jambatan yang telah siap dibina ialah Jambatan Batang Sadong, Samarahan sepanjang 1.48 km dengan kos keseluruhan sebanyak RM231 juta yang siap pembinaan pada 4 Oktober 2016.

“Kedua ialah Jambatan Sungai Rimbas di Betong sepanjang 0.3 km dengan kos keseluruhan sebanyak RM48 juta dan siap 6 November 2017.

“Ketiga, pembinaan Jambatan Samarahan di Bahagian Samarahan sepanjang 0.7 km dengan kos keseluruhan sebanyak RM120 juta dan siap pada 22 Jun 2018,” ujar Fadillah.-DayakDaily