KUCHING, OGOS 21: Usaha pemuliharaan orangutan oleh kerajaan Sarawak dan Sarawak Forestry mencapai satu lagi kejayaan dengan kelahiran satu lagi anak orangutan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini.
Sarawak Forestry yang berkongsi berita gembira ini menerusi laman Facebook berkata anak orangutan yang baharu dilahirkan kelihatan bersama ibu orangutan bernama Endu di pusat tersebut pada 19 Ogos sekitar jam 2.40 petang.
Kali terakhir kelibat Endu dilihat adalah pada 16 Ogos dan melihat kepada tali pusat yang masih melekat pada anak orangutan tersebut, ia berkemungkinan lahir pada 17 Ogos.
Dalam usaha memperkasakan pengurusan dan perlindungan orangutan, kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Forestry terus menyediakan pendekatan holistik untuk menguruskan dan melindungi hidupan ini.
Sertai usaha pemuliharaan hidupan liar menerusi program mengangkat orangutan https://semenggoh.my/adopt-orangutan/. — DayakDaily