42 kawasan tadahan bakal diwartakan bagi bekal sumber air mentah

Datuk Julaihi Narawi

SAMARAHAN, 9 Mei: Sebanyak 42 kawasan tadahan yang berpotensi menjadi sumber air mentah bakal diwartakan, kata Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurut Julaihi, kesemua 42 kawasan tersebut telah pun dikenalpasti dan melibatkan kawasan sungai, hutan serta empangan.

“Kawasan ini menakung air hujan yang boleh dijadikan sumber air mentah yang seterusnya diproses menjadi air terawat.


“Kita sudah kenal pasti 42 kawasan baharu, di mana terdahulu kita telah wartakan 28 kawasan tadahan dan ini menjadikan jumlahnya nanti 70,” kata Julaihi.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Perasmian Pejabat Baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Samarahan hari ini.

Tambah Julaihi, pewartaan 42 kawasan tadahan tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membangunkan sumber air.

Katanya, ia akan menyokong sasaran memastikan Sarawak memiliki 20 peratus simpanan air.

“Paling ideal ialah kita mempunyai 20 peratus simpanan air, ini kita boleh gunakan semasa cuaca panas seperti sekarang.

“Kita mesti mempunyai bekalan air yang cukup,” ujar Julaihi. — DayakDaily