Kakitangan MOTS hadir taklimat gangguan seksual di tempat kerja

Alice (duduk tengah) bersama kakitangan MOTS yang hadir ke taklimat Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja.

KUCHING, 9 Mei: Seramai 65 orang kakitangan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah menghadiri taklimat berkenaan Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja pada semalam.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Tadbir daripada Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak Jessie Melling.

Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Dato Ir Alice Jawan Empaling.


“Objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang maksud gangguan seksual.

“Ia meliputi kesan terhadap mangsa dan sokongan yang boleh diberikan serta tindakan yang boleh diambil sekiranya gangguan seksual itu berlaku di tempat kerja,” kata Alice dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak pengurusan dan kakitangan MOTS diminta memandang serius isu gangguan seksual di tempat kerja dengan mengambil langkah proaktif selain tidak mengetepikan sebarang aduan.

Selain itu juga, beliau berharap agar program kesederan seperti ini lebih giat dijalankan.

“Ini adalah bagi memupuk kesedaran warga MOTS terhadap isu salah laku integriti di dalam organisasi di samping mendukung hasrat Kerajaan Sarawak untuk membudayakan integriti dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak,” katanya. — DayakDaily