Oleh Dean Adam
MIRI, Feb 19: Empat buah stor yang terletak di belakang Rumah Panjang Katerina Sunday di Sungai Bok, Lapok dekat sini musnah terbakar lewat petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu telah mengakibatkan kesemua stor tersebut terbakar 100 peratus.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, berdasarkan saksi, seorang penghuni rumah panjang tersebut mengatakan dia baru sahaja balik dari kebun sawit dan mendapati rumahnya tidak mempunyai elektrik selepas kilat yang agak kuat.
Katanya, apabila dia menjenguk ke dapur, didapati api telah marak dari dalam bilik stor milik penghuni No. 11.
“Kebakaran merebak dengan cepat akibat tiupan angin dan dia dengan segera meminta bantuan pemadaman kebakaran.
“Tindakan operasi pemadaman telah dilakukan oleh seramai 50 orang penduduk rumah panjang dengan menggunakan sebanyak 14 tong alat pemadam api, 1 unit pam air dan juga baldi,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, rumah panjang berkenaan hanya mempunyai 2 tong APA yang baru diberikan semasa program Bomba Komuniti dan lain-lain tong adalah dari rumah panjang berdekatan iaitu dari Rumah Salin (10 tong) dan Rumah John (2 tong).
Katanya, bantuan dari pasukan bomba komuniti berdekatan iaitu Rh Salin, Rh Musin dan Rh John telah membantu mengawal kebakaran dari merebak ke rumah panjang berdekatan.
“Selain itu, faktor angin yang tidak kuat juga membantu pasukan pemadam untuk mengawal kebakaran,” ujarnya. — DayakDaily