4 rumah musnah dijilat api, 10 mangsa tinggal sehelai sepinggang

Kelihatan api sedang marak membakar kediaman di Jalan Sungai Plan.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mac 29: Nasib malang menimpa empat buah keluarga apabila rumah mereka musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran di kawasan setinggan di Jalan Sungai Plan di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu juga mengakibatkan 10 mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka terbakar 100 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.25 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Apabila tiba pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah di kawasan berkenaan. Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam bagi mengelak api marak ke rumah berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kedudukan rumah yang rapat mengakibatkan api marak dengan cepat.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam proses siasatan. Operasi memadam itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.18 pagi,” katanya. — DayakDaily