Motosikal rempuh Toyota Hilux, seorang lelaki maut

Keadaan kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki.

SARIKEI, Jan 12: Seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di KM 421, Jalan Betong-Sarikei di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Sazali Abu Hassan, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lc 150 dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Saratok menuju ke pusat bandar Sarikei.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.

“Kesan pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala motosikalnya terperosok di bawah Toyota Hilux berkenaan.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada anggota badannya.

“Namun, pemandu Toyota Hilux bersama dua lagi penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati cuaca ketika kejadian cerah, manakala permukaan jalan raya adalah rata serta kering.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily